*lambai tangan*
Nina-chan di sini! Ini adalah kali pertama Nina akan menulis entry tentang hidup Nina. Dalam post "Story of My Life" ini, walaupun kelihatan seperti Bahasa Inggeris, Nina akan menulis entry dalam Bahasa Melayu. Nina mahu berlatih menulis dalam kedua-dua bahasa. Terima kasih sahabat-sahabat yang menyokong Nina di dalam apa jua keadaan!
HARI UJIAN PENILAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR)
Tarikh : 8 September 2016
Pada hari itu, Nina bangun awal. Untuk Nina, 6.15 pagi pun sudah dikira awal kerana pada kebiasaannya Nina akan bangun pada pukul 6.20 pagi. (5 minit yang sangat berharga.) Nina turun ke bawah untuk bersolat Subuh. Masa itu, memang sangat gementar. Nina terasa yang demam menyerang diri Nina. Nina periksa suhu badan, sah. Demam 37.3 (rasanya) darjah Celcius. Dah lah menggeletar tubuh badan, lagi tambah getarannya rasanya apabila mengetahui bahawa Nina akan menduduki peperiksaan yang membawa impak besar dalam hidup Nina.
BETUL-BETUL DEMAM PEPERIKSAAN.
Usai Solat Subuh, Nina mandi. Setelah mandi, Nina bersarapan kerana guru-guru di sekolah Nina sering menekankan isu bersarapan sebelum pergi ke sekolah. Nina bagitahu Mummy yang Nina memang mengalami "demam peperiksaan". Betul-betul punya. Terus Mummy pergi bilik dan mengambil dua papan ubat Panadol untuk dimakan nanti. Nina sentiasa ingatkan diri Nina yang Allah tahu apa yang Dia takdirkan. Allah yang akan menyembuhkan Nina nanti.
"Good luck, Sayang. Just do your best. Makan ubat masa rehat and don't force yourself. Mummy sentiasa doakan Nina."
Salah satu sebab mengapa Nina sayang Mummy. Nampak macam gedik kan? "Mummy". Ew, rasa nak muntah. Tapi, Nina sayangkan Mummy Nina. Beberapa hari sebelum Nina akan menghadapi peperiksaan ini, Nina minta Mummy tuliskan satu surat untuk jadi motivasi supaya Nina boleh menghadapi UPSR ini. Mummy dengan hati terbuka menulis surat ini. Nak baca? Boleh. Tengok gambar di bawah.
Nina masih menyimpan surat ini. Terima kasih, Mummy.
Nina biasanya berjalan kaki ke sekolah. Rumah Nina terletak tidaklah jauh daripada sekolah. Walaubagaimanapun, Nina berangkat lebih awal hari itu. Cikgu berpesan supaya datang awal kerana boleh membuat sedikit revisi pada hari itu. Berkat usaha cikgu menekan Nina tentang peperiksaan ini serta memberi banyak latihan dan persiapan untuk menduduki UPSR, Nina tidak perlu membuat revisi dengan penuh stres kerana ingatan Nina telah dipenuhi dengan ilmu. Terima kasih, cikgu!
Sampai ke sekolah, kami dikehendaki menunggu di dewan bawah kerana dewan peperiksaan sedang dipersiap oleh guru-guru yang menjaga kami sewaktu peperiksaan dari sekolah lain. (Lupa apakah nama mereka) Nina di dewan bawah bersama rakan-rakan Nina, sedang cuba untuk menyerap informasi-informasi penting sebelum menduduki peperiksaan. CIkgu-cikgu pun tak lupa membantu. Nina amat bertuah memiliki orang-orang yang sangat baik di sisi Nina. Slip peperiksaan diberi dan kami menyiapkan diri untuk ke dewan peperiksaan. Alhamdulillah, Nina telah menyediakan satu ikat pensel beserta pemadam, pembaris dan pengasah pensel.
Sampai ke dewan peperiksaan, kami berkomunikasi melalui pergerakan muka. Tak percaya yang kami akan menduduki peperiksaan ini. Nina pun duduk di tempat yang ditetapkan. Kertas Bahasa Melayu Pemahaman diedarkan. Masa menjawab pun bermula. Alhamdulillah, Nina dapat menjawab semua soalan dengan masa yang ditetapkan. Walaupun sering bersin dan mengeluarkan benda (ewww), Nina tetap berlagak tabah walau sebenarnya Nina ingin pulang ke rumah dan tidur. Setelah itu, kertas Bahasa melayu Penulisan pula diedarkan. Nina tulis lambat, jadi memang susah lah untuk Nina. Tapi alhamdulillah, dapat juga menjawab semua soalan.
Waktu rehat tiba dan Nina segera mencapai satu tablet Panadol dan sebotol air. Rakan-rakan lain sibuk membincangkan jawapan kepada soalan-soalan yang telah dijwab tadi. Mualimah di sekolah agama berpesan untuk tidak berbincang jawapan kerana itu akan membuat Nina semakin gementar untuk menduduki peperiksaan seterusnya. Waktu rehat tamat dan Nina segera ke dewan bawah untuk membuat revisi Matematik. Cikgu Aisah dan Cikgu Rais membantu Nina untuk membuat revisi. Masuk ke dewan peperiksaan semula dan kertas Matematik II diedarkan. Nina menjawab soalan yang diberikan dan alhamdulillah tepat pada masanya.
Setelah tamat peperiksaan pada hari itu, kami pun dilepaskan untuk pulang ke rumah. Nina terus pulang ke rumah dan tidur. Alhamdulillah...
"Berkat usaha guru-guru dan keberkatan doa rakan-rakan serta keluarga, Nina mendapat keputusan yang ..... ."
Itu sahaja daripada Nina. Maafkan Nina kerana sudah lama Nina membiarkan blog ini berhabuk. InshaAllah Nina cuba menulis entry yang lebih banyak nanti.
Nina-chan perlu membuat kerja. Jumpa lagi dan Assalamualaikum!